Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

PASIR MAS – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan tidak perlu menabur janji untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Sebaliknya, jika ikhlas untuk melihat rakyat Kelantan hidup bahagia, beliau perlu menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji untuk membayar royalti minyak kepada negeri itu.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, selama ini bertimbun segala janji yang ditaburkan UMNO dan BN yang tidak ditunaikan sehingga kini.

Katanya, budaya janji yang ditabur oleh parti itu sudah lapuk dan tidak relevan lagi.

“Apakah beliau masih tidak sedar zaman mempersendakan minda rakyat sudah berakhir? Rakyat sudah cerdik dan golongan muda bukan boleh ditipu lagi dengan janji manis, sedangkan janji sebelum ini tidak pernah diselesaikan.

“Mereka berjanji akan menyelesaikan masalah air yang dihadapi rakyat Kelantan jika UMNO, BN menang adalah satu pendustaan dan memalukan. Nasihat saya, tunaikan dulu isu royalti minyak kepunyaan dan hak rakyat serta kerajaan Kelantan.

“Mampukah beliau menasihati Anwar supaya melunaskan royalti minyak mengikut perjanjian dan sanggupkah terus menggalas dosa yang akan menerima hukuman Allah kelak? Walaupun wujud perbezaan politik dan parti, namun hak yang termaktub dalam perjanjian wajib dihormati dan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Putra Bahagian Pasir Mas di Kampung Bunut Susu, dekat sini, hari ini.

Seramai 155 perwakilan hadir mengikuti persidangan 2023-2026 itu.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai kegagalan kerajaan Pas Kelantan membangunkan negeri itu disebabkan tidak mendapat peruntukan mencukupi daripada kerajaan pusat.

“Ini ditambah pula dengan pemimpinnya yang tidak kreativiti dan inovasi, selain berceramah retorik sepanjang masa, sedangkan Kelantan merupakan negeri yang sangat kaya dan subur dari segenap perkara.

“Iaitu dari segi modal insan yang rajin, hasil mahsul, pelbagai bahan galian, kayu kayan, alam sekitar yang indah, kaya budaya dan beraneka jenis makanan, tetapi negeri mundur.

“Ada duit pandai beli Mercedes dan naik elaun wakil rakyat. Begitu juga, jika dapat royalti minyak pun belum tentu akan digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat,” kata beliau.

Ibrahim turut menyatakan rasa sedihnya dengan gelaja rasuah pada pilihan raya dengan menghulurkan wang untuk membela undi.

Ini jelas beliau, kemenangan calon PRU15 baru-baru ini adalah hasil daripada sogokan kepada pengundi yang sudah menjadi kebiasaan dan amalan bagi semua parti politik.

“Demokrasi Malaysia adalah demokrasi wang. Sampai bila rakyat akan mengundi berdasarkan siapa yang hulurkan duit lebih.

“Kalau budaya ini berterusan, jangan haraplah untuk dapat pemimpin dan kerajaan yang bersih. Maka akan kekallah rasuah amalan budaya rakyat Malaysia sampai bila-bila dan mustahil rasuah dapat dibanteras,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dah ditolak pengundi pru15 masih ada hati nk nasihatkan org lain. Setidak2 nyer org yg dinasihat tu sebahagian menerajui negara. Dh la kalah, deposit pun hilang. Dh tak releven. Bersara la dr politik itu pilihan terbaik bt masa ni.

Comments are closed.