UMUM mengetahui bahawa digitalisasi kini berlaku dengan begitu rancak di seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali menerima impak dari pendigitalan yang sedang mengambil tempat di banyak sektor. Tidak perlu penulis membahaskan digitalisasi dari sektor perniagaan kerana ianya sudah pun mengisi hampir semua sektor ekonomi di seluruh dunia. Hal ini seperti mana yang berlaku dalam sektor perniagaan maya yang menyaksikan hampir kesemua masyarakat di dunia sudah membeli melalui aplikasi maya. Oleh itu, impak yang sama semakin hampir melanda sistem pembelajaran dan pengajaran di universiti terutamanya.

Sistem pembelajaran dan pengajaran secara maya asalnya mula menjadi popular ketika zaman pandemik yang melanda dunia. Hampir kesemua universiti di semua bahagian di
dunia ini telah menawarkan pembelajaran dan pengajaran secara digital. Universiti di Malaysia umumnya juga telah mula melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara
maya. Aplikasi maya umpamanya Google Meet, Microsoft Team dan Zoom serta Webex telah diguna dengan begitu meluas sekali. Hal ini kerana sistem sokongan yang diberikan
oleh kesemua platform tersebut memudahkan pengguna dan pengaturcara.

Teknologi pintar

Semua pihak wajib menerima hakikat bahawa teknologi pintar kini menjadi pemangkin utama di dalam sektor pendidikan. Secara tradisionalnya, para graduan perlu menelaah buku dan manuskrip bagi menghasilkan sebuah penulisan akademik yang berkualiti tinggi. Namun, kecerdasan buatan atau artifical intelligence, AI kini telah mengambil alih peranan untuk menelaah buku dengan begitu tuntas sekali. Lihat sahaja ChatGPT, aplikasi pintar yang menggunakan AI sebagai teras pengaturcaraan. Tidak perlu tenaga dan usaha yang lebih seperti mana dahulu, hanya memerlukan sebuah peranti pintar dan keupayaan mengendalikan aplikasi tersebut. Para pengguna hanya perlu menyatakan kehendak dan keperluan mereka, ChatGPT bakal merealisasikannya.

Walaupun terdapat perdebatan umpamanya kesahihan maklumat dan keaslian hasil yang dijana oleh ChatGPT termasukalah terdapat kemungkinan berlakunya plagiat, namun ianya tetap digunakan secara meluas oleh para pelajar di pelbagai peringkat pengajian. Kewujudan Turnitin atau Ouriginality sebagai aplikasi pembanteras plagiat membuktikan bahawa teknologi pintar kini sudah menguasai proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, memastikan teknologi pintar disediakan sebagai sistem sokongan di universiti adalah amat penting. Gelombang universiti maya tidak boleh dibendung lagi. Situasinya ialah sama ada kita mengikut tren gelombang atau tertinggal beratus tiang dibelakang. Jika tertinggal, kemungkinan unviversiti-universiti di Malaysia tidak lagi menjadi pilihan pelajar antarabangsa adalah tinggi. Hal ini akan membunuh carta universiti Malaysia di mata dunia.

Silibus pintar

Sistem akademik yang mengadptasi silibus yang merujuk kepada kepintaran akademik, AI, digitalisasi, pengekodan dan pengaturcaraan perlu dilaksanakan di semua universiti tidak mengira bidang. Mereka yang berada di bidang Sains dan Teknologi atau Sains Sosial dan Kemanusiaan tidak boleh mengelak daripada belajar silibus berkaitan kepintaran teknologi, sistem dan perkakasan maya. Jika tidak terlalu mendalam pun, setidaknya semua pelajar perlu tahu untuk berinteraksi dengan pengakalan dan pusat data, data saintifik besar dan menganalisis maklumat.

Silibus yang mementingkan aplikasi menganalisis data kualitatif dan kuantitatif umpamanya Statistical Package for Social Sciences (SPSS), Structural Equation Modelling-Partial Least Square (SEM-PLS) dan NviVO perlu dipelajari secara serius oleh para penuntut dan tenaga pengajar. Bahkan, adalah lebih baik jika dapat menguasai aplikasi-aplikasi pintar lain yang banyak tersedia di dalam pasaran. Untuk itu, pihak universiti juga perlu berperanan memastikan akses oleh pelajar dan tenaga pengajar kepada kesemua sistem dan aplikasi pintar ini disediakan.

Jika kerajaan berbicara soal madani, universiti mayalah cabaran terkini. Semua pemegang taruh untuk menaikkan martabat insani perlu melibatkan diri. Pengajaran dan pembelajaran maya adalah sesuatu yang pasti. Tidak boleh siapa pun melarikan diri. Kita perlu tekad untuk melakukan anjakan paradigma dalam diri pelajar, tenaga pengajar dan universiti.

Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan, Fakultis Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan Untuk Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast