KUALA LUMPUR – Perwakilan yang akan mengundi dalam pemilihan UMNO esok dinasihatkan supaya memilih dengan bijaksana dan berhati-hati.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan kali ini bukan sahaja satu tradisi penting tetapi ia merupakan satu tanggungjawab kritikal yang mempunyai makna dan impak yang besar.
Menurut beliau, perwakilan sebenarnya memilih mereka yang akan mengemudi masa depan dan mengambil alih kepimpinan UMNO.
“Pilihlah mereka yang benar-benar setia dengan parti. Mereka yang kekal berkhidmat walau pada saat parti dalam keadaan paling terhumban.
“Mereka yang kekal percaya dengan parti walau pada saat masa depannya dilihat suram dan kelam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled turut bertanding untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya untuk pemilihan penggal 2023-2026.
Enam lagi calon yang turut bertanding untuk jawatan tersebut ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid (penyandang) serta Datuk Hasni Mohamad, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mohamed Khaled turut berpesan kepada para perwakilan agar berfikir sedalam-dalamnya ketika memilih calon yang bagaimana mahu diangkat dalam memimpin perjuangan Melayu.
Beliay menasihatkan para perwakilan supaya jangan mengambil mudah tanggungjawab itu atau beranggapan pilihan mereka tidak mempunyai kesan besar lalu mereka boleh memilih secara sambil lewa.
“Sebaliknya, setiap perwakilan mempunyai ruang dan peluang yang mesti dimanfaatkan dengan pertimbangan terbaik,” jelasnya. – MalaysiaGazette