SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat untuk menamakan mana-mana pimpinannya untuk dijadikan sebagai poster boy dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Jun tahun ini.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara itu sudah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini.
“Mesyuarat MPT Bersatu Negeri juga bersetuju supaya tiada poster boy di Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkenaan fitnah dan dakwaan rasuah serta penggubahan wang haram ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rashid menafikan tiga pimpinan Bersatu, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Mohd Radzi Md Jidin dan beliau sendiri sebagai bakal Menteri Besar Selangor.
“Bukan (bayangan calon MB) sebenarnya, apabila Tan Sri Muhyiddin sebut tiga nama tersebut.
“Arahan Tan Sri Muhyiddin supaya kita bertiga menguatkan parti dan membuat persiapan PRN,” katanya.
Ditanya tentang agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen PN di Selangor, Abdul Rashid memberitahu, kini telah mencecah 60 peratus dan bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Agihan kerusi rundingan (kompnen PN) setakat ini sudah capai 60 peratus,” ulasnya.
Sebelum ini Muhyiddin mengumumkan pemimpin daripada Bersatu akan dipilih sebagai Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan jika PN berjaya menawan negeri itu dalam PRN, Jun tahun ini.
Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan bakal membantu Bersatu untuk memenangkan PN di Selangor, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu.
“Kita belum diputuskan, mungkin ada cakap-cakap mengatakan mereka bersama kita, tetapi buat masa ini belum ada keputusan muktamad tentang calon-calon ini.
“Pokoknya dalam proses menamakan calon ini, kita lihat siapa calon boleh menang, kalau kita fikirkan calon-calon ini boleh menang dan boleh bantu Bersatu apa salahnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette