KUALA LUMPUR – Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak bertukar kecoh apabila bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang daripada memasuki lokasi pemilihan di Dewan FELCRA Seberang Perak pagi tadi.
Difahamkan, suasana pemilihan bahagian itu bertukar kecoh selepas Tajuddin disekat pasukan keselamatan ketika beliau hendak memasuki kawasan tersebut kerana keahliannya yang digantung parti sejak September tahun lalu.
Bagaimanapun, Tajuddin akur dengan arahan berkenaan dan menunggu di dalam keretanya di luar kawasan dewan seperti diarahkan petugas.
Sementara itu, Tajuddin menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati dirinya sebagai bekas ketua UMNO bahagian itu.
Sedangkan, katanya, beliau menyayangi UMNO dan setia selama 50 tahun dalam parti itu.
“Sombong, bekas ketua bahagian pun dihalang masuk. Ini tak pernah berlaku,” katanya lapor BH Online.
Pada pemilihan kali ini, anak sulungnya, Dr Faizal Tajuddin bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian yang juga ditandingi Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun.
Terdahulu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak apabila berjaya menewaskan penyandang, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang juga Ketua Wanita UMNO Perak. – MalaysiaGazette