PRU16
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Politik adalah sesuatu yang dinamik bukan gelanggang kalah mati, kata calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, kalah dalam pemilihan parti bukan pengakhiran kepada karier politik kerana tiada istilah kalah mati dalam pemilihan UMNO.

“Macam saya dulu tanding Naib Presiden saya kalah tiga undi masa 2018. Kita cuba lagi sebab UMNO adalah parti yang dinamik, saya menang PRU13, kalah PRU14 dan menang balik pada PRU15.

“Bukan kalah mati tapi yang penting bila kita berdepan dengan kekalahan macam mana kita melihat semula kenapa kita kalah. Apa pendekatan yang kita perlu ubah dan apakah pendekatan serta cara dan strategi kita,” katanya pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa yang diadakan hari ini.

Johari adalah salah satu calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu selain Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ini termasuk bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Menteri Besar Johor , Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pendekatan dan naratif calon yang bertanding perlu dilihat bagi membolehkan calon yang bertanding dipilih ke jawatan ketiga tertinggi UMNO itu.

“Ada benda yang kita tahu dan tidak boleh buat kerana kekangan dari segi perkara-perkara yang melibatkan organisasi,” katanya lagi.

Justeru itu, kata Johari, mana-mana pimpinan yang dipilih termasuk Presiden dan Timbalan Presiden (tidak dipertandingkan), Naib Presiden dan ahli MKT harus mainkan peranan bagaimana nak kuatkan semula UMNO.

Malah pasukan itu harus melihat apa sahaja kelemahan yang ada pada parti keramat itu dalam mendepani hala tuju masa mendatang.

“Ada benda yang kita buat bagus dan ada benda yang kita baik pulih ataupun improve. Perkara ini akan berterusan untuk kita melihat kepimpinan masa akan datang.

“Kalau sesiapa yang dipilih akan berpuas hati kerana pemilihan ini dibuat secara telus. Begitu juga sesiapa yang kalah pun akan puas hati kerana dia tahu proses ini berjalan dengan telus dan perasaan tidak puas hati ini apabila tidak berjalan dengan telus.

“Kalau berjalan dengan telus, semua orang puas hati,” katanya lagi.

Sejumlah 189 bahagian UMNO bermesyuarat bagi memilih Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan ke atas sempena Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026.

Sejumlah 160,000 perwakilan UMNO di seluruh negara menyertai pemilihan parti kali ini yang akan dipantau Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU). – MalaysiaGazette