Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menjejak aset dan wang hasil daripada kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa.

Ia susulan kegiatan haram terbabit yang berjaya dilumpuhkan dalam satu operasi besar-besaran digelar Op Tropicana pada Februari lalu.

Agensi penguatkuasaan undang-undang berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya bekerjasama dengan Interpol, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan National Crime Agency (NCA) United Kingdom untuk menjejak aset penipuan pelaburan antabangsa.

“Usaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit itu turut dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

“Usaha ini adalah tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket ini yang terdiri daripada warga asing berjaya didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac 2023 dan di Mahkamah Butterworth pada 17 Mac 2023 iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan.

“Keempat-empat warga negara United Kingdom tersebut telah dijatuhi hukuman penjara dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung laporan lima bank utama sedang dipantau, SPRM berkata, siasatan kini lebih tertumpu kepada individu terbabit dan bukan melibatkan institusi kewangan  secara khusus.

Katanya, mereka adalah segelintir golongan profesional termasuk pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram beroperasi.

“SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast