BUTTERWORTH – DAP melahirkan rasa kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang masih lagi memainkan sentimen perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa tidak lama lagi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya amat dukacita dengan kenyataan Tun Mahathir yang tidak mencerminkan dirinya sebagai bekas Perdana Menteri serta negarawan.
“Tiada sebarang hakikat ataupun keadaan di mana orang Melayu hilang kuasa, Perdana Menteri adalah Melayu…kebanyakan menteri adalah Melayu, kesemua institusi masih dipegang oleh orang Melayu, Ketua Setiausaha Negara juga Melayu…Jadi dimana orang Melayu hilang kuasa?
“Tun Mahathir sepatutnya memainkan peranannya untuk menyatupadukan rakyat namun melihat kepada kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini seperti memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara kita.
“Kalau beliau cintakan negara ini sepatutnya gunakan pengaruh yang ada untuk membantu menarik lebih banyak pelaburan demi memajukan negara kita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke hadir ke Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023 yang diadakan di Butterworth Arena di sini.
Hadir sama, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Media pada 4 Mac lalu melaporkan, Mahathir yang dijemput sebagai ahli panel dalam sebuah program dialog di Putrajaya menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali Pilihan Raya Umum (PRU).
Peringatan itu disuarakan beliau ekoran suasana politik ketika ini yang didakwa, kekuatan dominan bangsa Melayu semakin teruk terhakis selepas PRU15. – MalaysiaGazette
Terutamanya sebijik di Singapore dan Penang.