KUANTAN –  Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kemenangannya untuk berada dalam barisan Naib Presiden UMNO sebagai hadiah terindah Ramadan kali ini.

“Ini hadiah Ramadan terindah buat saya dan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta kemenangannya.

Beliau yang juga  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, kemenangan itu adalah nikmat rezeki yang disyukuri dan bersedia menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Wan Rosdy yang mendahului pungutan undi sejak semalam mendapat 127 undi dalam Pemilihan UMNO kali ini.

Beliau akan bersama dua lagi naib presiden yang pilih iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mereka masing-masing memperoleh 116 dan 110 undi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy meminta semua ahli UMNO supaya setia dengan UMNO, sama ada dipilih atau sebaliknya.

Tegas beliau, kesetiaan kepada parti paling penting dan prinsip itu perlu dihayati.

Tambahnya, keputusan saingan jawatan Naib Presiden UMNO kali ini sekali lagi mengulangi sejarah wakil dalam kalangan menteri besar, selain representatif  dari Pantai Timur.

“Semoga suara saya mewakili mereka,” ujarnya.

Kemenangan Wan Rosdy, seorang menteri besar bagi kerusi Naib Presiden UMNO mengulangi kejayaan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada tahun 2013.

Lebih menarik kali ini, kemenangan Wan Rosdy mewakili Pahang, sekali gus menggantikan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette