Ting Han

JOHOR BAHRU – Mengikut data Invest Johor, negeri itu mempunyai 143 kawasan perindustrian bagi menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Lee Ting Han berkata, kerajaan negeri menggalakkan pembukaan kawasan perindustrian baharu berkonsep kawasan terancang dengan utiliti yang lengkap dan kondusif untuk para pelabur.

Ia adalah selari dengan hasrat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang telah menubuhkan unit khas Industrial Estate Unit melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Malaysian Investment Development Authority (MIDA) bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti.

“Di peringkat kerajaan negeri, tiga inisiatif telah dijalankan untuk menyokong dan membantu ekosistem kawasan perindustrian di Negeri Johor iaitu seperti Industrial Park Management Committee (IPMC) di mana ahlinya terdiri daripada agensi-agensi perkhidmatan kerajaan, separa kerajaan, persatuan pekilang-pekilang tempatan dan pihak industri.

“IPMC dipengerusikan oleh Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan berfungsi sebagai platform perantara antara pihak industri dengan pihak jabatan kerajaan yang berkaitan untuk berbincang serta mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah-masalah industri yang dihadapi dalam sesuatu kawasan tersebut.

“Melalui IPMC,  PBT juga dapat memantau permasalahan sesuatu kawasan ​industri dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya menjawab soalan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Ting Han berkata, ia secara langsung ​membolehkan PBT menyediakan kawasan perindustrian yang lebih kondusif dan memberikan imej yang baik kepada para pelabur.

“ Yang kedua, umpamanya ialah Jawatankuasa Pelaburan Johor (JIC) yang mana Jawatankuasa Pelaburan Negeri Johor dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor untuk melaraskan polisi dan dasar-dasar kerajaan mengenai pelaburan.

“Perkara ini supaya diterima pakai dan diambil tindakan sewajarnya selain pemantauan secara berkala bagi industri-industri yang sedia ada.

“Isu-isu dasar yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri akan diangkat dan dimuktamadkan keputusannya dalam mesyuarat JIC,” jelasnya.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Menteri Besar dan Menteri MITI itu nanti bagi menyelaras isu-isu pembangunan industti antara kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan.

Katanya, perkara yang memerlukan perhatian dasar atau bajet Kerajaan Persekutuan akan  dibincangkan dalam mesyuarat ini.-MalaysiaGazette