KUALA LUMPUR – Dua pejalan kaki maut manakala dua lagi parah dan dirawat dalam keadaan kritikal di hospital selepas dirempuh sebuah kereta semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kejadian ngeri itu berlaku di Jalan Raja Laut pada jam 3 pagi membabitkan empat buah kereta dan empat pejalan kaki.
Kemalangan itu berlaku di Jalan Raja Laut (dari arah Kompleks Sogo menghala Jalan Chow Kit berhadapan Menara Raja Laut) apabila pemandu Myvi yang sedang memandu di Jalan Raja Laut melanggar sebuah Proton Wira yang mengubah haluan.
“Akibat pelanggaran tersebut Myvi telah hilang kawalan lalu melanggar empat orang pejalan kaki yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan di jalan tersebut.
“Rempuhan itu telah mengakibatkan seorang mangsa pejalan kaki lelaki berumur 22 tahun cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi pejalan kaki lelaki meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Kecemasan HKL,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu, dua lagi mangsa pejalan kaki (seorang warga asing) turut parah dan masih dirawat di zon merah hospital tersebut.
Dalam pada itu, katanya, pemandu Proton Wira berusia 22 tahun dan Myvi berumur 20 tahun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Kedua-dua pemandu itu kini berjaya ditahan polis dan sedang direman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03- 20260267/69 atau mana- mana Balai Polis berampiran,” tegasnya.-MalaysiaGazette