KUALA LUMPUR – Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan bagi mengelakkan tragedi Father’s Organic Farm di Batang Kali berulang akan dimuktamadkan pada akhir April 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, garis panduan itu mengambilkira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan dan pengusaha tapak perkhemahan.
“GPP ini memberi fokus kepada aktiviti perkhemahan jenis asas iaitu perkhemahan yang menggunakan khemah yang didirikan di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas yang minimum berserta kelengkapan, peralatan dan makanan yang perlu dibawa sendiri oleh peserta,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkemahan yang digariskan antaranya termasuk kesesuaian cadangan lokasi tapak perkhemahan yang dibenarkan di kawasan gunung dan berbukit, tepian laut dan sungai, kawasan hutan, kawasan berisiko bencana semula jadi serta kawasan sensitif alam sekitar.
Keselamatan tapak dengan menentukan jarak yang sesuai dari
kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi dan tahap kecerunan yang sesuai dan struktur kekuatan tanah, katanya.
Pengurusan dan operasi tapak perkhemahan meliputi daftar masuk, taklimat keselamatan, keperluan kakitangan pengusaha
dan pengurusan kecemasan.
Turut ditekankan keperluan dan kesesuaian akses laluan keluar-masuk ke tapak perkhemahan.
Keperluan kemudahan dan infrastruktur asas seperti sistem perparitan, bekalan air, elektrik, pembentungan, pengurusan
sisa pepejal, kemudahan letak kenderaan, pejabat pengurusan, tempat berkumpul, tempat rawatan awal, tandas, tempat memasak dan surau.
“Draf GPP juga menyentuh aspek berkaitan pematuhan perundangan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi berkaitan seperti kelulusan permit sementara bangunan, lesen perniagaan, permit papan tanda dan iklan, permit menjalankan aktiviti luar atau ekstrem seperti flying fox dan lain-lain.
“Adalah diharapkan dengan adanya garis panduan yang disediakan, aspek-aspek berkaitan keselamatan, keselesaan dan pemuliharaan alam semula jadi dapat diberi perhatian dalam perancangan dan pembangunan tapak-tapak perkhemahan supaya tragedi Batang Kali dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya menjawab soalan Gobind Singh Deo (Damansara – PH).
Tragedi pada Jumaat 22 Disember tahun lalu berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.
Seramai 31 orang terkorban, dan 54 orang diselamatkan, dengan 7 orang memerlukan kemasukkan ke hospital.- MalaysiaGazette