Istana Kehakiman

KUALA LUMPUR – Seorang wanita sebelum ini pernah berdepan situasi tiga orang anaknya ditukar agama secara sebelah pihak oleh bekas suaminya sedang berusaha membatalkan beberapa peruntukan enakmen di lapan buah negeri berhubung penukaran agama kanak-kanak secara unilateral (sebelah pihak) sebagai tidak sah.

Pemohon itu, M Indira Gandhi bersama-sama sebuah pertubuhan agama serta 12 individu lain telah membuat permohonan saman yang difailkan melalui firma guaman, Tetuan Raj & Sach pada 3 Mac lalu.

Selain Indira, plaintif terdiri daripada Pertubuhan Agamam Ani, bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), S. Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team (INGAT), D. Arumugam.

Beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa kepada penukaran agama secara unilateral juga bersama-sama Indira menuntut pembatalan itu di negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Dalam afidavit itu, Indira serta yang lain mendakwa semua penukaran unilateral yang telah berlaku di Malaysia dari tarikh keputusan Indira adalah terbatal kerana melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan ini bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes Indira, yang mengumumkan pertukaran agama kanak-kanak secara sebelah pihak adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Untuk makluman, pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam manakala pasangannya bukan beragama Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Ketika itu panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak Indira secara satu pihak oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagai K. Pathmanathan).

Plaintif juga telah memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah telah menetapkan 5 April depan untuk pengurusan kes. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast