SHAH ALAM – Mesyuarat Pertama (pembukaan) Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 tahun 2023 adalah persidangan terakhir bagi penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Persidangan yang sepatutnya berlangsung selama sembilan hari dari 13 hingga 17 Mac dan 20 hingga 24 Mac ini telah disingkatkan kepada lima hari yang berakhir Jumaat lalu.
Menurut Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, tempoh persidangan itu dipendekkan kerana semua Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) termasuk Menteri Besar dapat menyelesaikan menjawab serta menggulung setiap perbahasan daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Namun, katanya, sepanjang persidangan itu juga, Dewan diminta supaya menambah masa perbahasan dan penggulungan selama hampir empat jam.
“Untuk makluman, persidangan kali ini merupakan penggal terakhir bagi DUN Selangor yang ke-14.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat sama ada yang berada dalam kerajaan, penyokong kerajaan atau pembangkang bertugas dengan cemerlang dalam Dewan ini dan telah pun menyempurnakan tugas sepanjang lima tahun.
“Dalam tempoh lima tahun ini, banyak pembaharuan telah kita sama-sama laksanakan, antaranya DUN ini telah meluluskan pindaan Peraturan-peraturan Tetap DUN Selangor 1995,” katanya.
Menurut Suee Lim, pindaan itu bagi membolehkan persidangan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Secara Atas Talian diadakan secara keseluruhannya atau secara separa atas talian.
Katanya, tempoh perbahasan dan Undang-Undang Perbekalan daripada empat hari kepada enam hari untuk memberi seluas-luasnya ruang serta peluang kepada Ahli Yang Berhormat berbahas dan sebagainya.
Jelasnya, sebelum menangguhkan persidangan ke suatu tarikh yang ditetapkan nanti, beliau telah meneliti dan membincangkan berkenaan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender, Pembangunan Wanita dan Keluarga, yang mana perkara itu masih lagi di peringkat kajian.
“Akibat daripada kekangan masa dan halangan yang tidak dapat dielakkan serta penggal ini yang hampir tamat, saya berpandangan tiada keperluan buat masa ini untuk menubuhkan jawatankuasa ini.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang sentiasa istiqamah dan komited memberi sokongan serta dokongan untuk menjayakan misi dan matlamat pembaharuan DUN Selangor.
“Saya berharap usaha untuk menjadikan Selangor sebagai peneraju perubahan hendaklah terus dimartabatkan dan diperkasakan pada penggal akan datang,” jelasnya.
Suee Lim turut menegaskan disiplin terutama kehadiran ADUN ketika persidangan yang dianggapnya masih kurang memuaskan menyebabkan timbul isu tidak cukup korum. – MalaysiaGazette