BANGI – Kerajaan menubuhkan Majlis Madani bagi melaksanakan konsep dan gagasan yang menjadi slogan Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis itu berperanan untuk merangka program rasmi yang bersesuaian dengan tema masyarakat Malaysia Madani.
Beliau berkata, majlis tersebut dipengerusikan Perdana Menteri dan maklumat lanjut mengenai objektif penubuhan itu juga akan diperinci Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“Apa yang menjadi komitmen Perdana Menteri agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dapat menterjemah pelaksanaan falsafah dan konsep masyarakat Malaysia Madani.
“Ia termasuk menyantuni kerja semua NGO Islam, para ilmuwan Islam dan ilmuwan dari pelbagai agama dan latar belakang,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam 2023 di sini hari ini.
Sementara itu, Zahid berkata, beliau sendiri secara peribadi akan memaklumkan permohonan mengenai dana khas NGO Islam kepada Perdana Menteri.
“Saya hampir pasti bahawa PM akan bersetuju pembangunan fasiliti tentunya memerlukan dana, mungkin saya akan bisikkan terus kepada beliau apabila Belanjawan 2024 nanti untuk dimasukkan permintaan NGO Islam ini,” ulasnya.
Dalam pada itu, Zahid memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha memastikan Anwar bersetuju dengan resolusi ke-10 konvensyen berkenaan.
Ia membabitkan permintaan NGO Islam yang mahu kompleks khas dengan kemudahan asas seperti pejabat, dewan serbaguna dan bilik latihan untuk merancakkan lagi aktiviti pembangunan masyarakat. – MalaysiaGazette