OMRAH Hassan @ Hussin (tengah, berbaju batik) bersama pelajar Jepun dan ibu bapa angkat dari kalangan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang, Selangor.

SERDANG – Seramai 10 orang pelajar Jepun dari tiga buah universiti, iaitu
Hokkaido University of Education, Kochi University dan Gifu University telah
menyertai Program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths
(JENESYS) Outbound di Malaysia dengan mengadakan lawatan serta mengambil
bahagian dalam beberapa aktiviti bersama pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM)
dan komuniti Taman Sri Serdang, Selangor dari 16 hingga 18 Mac yang lalu.

Program ini bertujuan menggalakkan persefahaman di peringkat belia antara negara
Jepun dengan negara rantau Asia Pasifik di samping membina jaringan perhubungan
serta kerjasama masa depan.

Program ini juga menggalakkan pemahaman mengenai ekonomi, masyarakat, sejarah, budaya, politik dan hubungan diplomatik Jepun.

Untuk tujuan ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memilih Pusat
Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM bagi mengendalikan university
exchange program bersama pelajar UPM serta aktiviti dengan anggota masyarakat
setempat di Taman Sri Serdang.

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan ialah, sesi dialog, pertukaran idea dan
pandangan serta perkongsian budaya antara pelajar UPM dengan Jepun, aktiviti
memetik sayur dan mempelajari proses penghasilan madu kelulut di ladang Fakulti
Pertanian UPM serta aktiviti home visit yang berkonsepkan program anak angkat di
mana 10 orang pelajar Jepun telah ditempatkan di lima buah keluarga angkat dari
kalangan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang.

Melalui aktiviti home visit misalnya, penduduk tempatan telah mengambil peluang
untuk mengajar budaya masyarakat majmuk di Malaysia dengan menyediakan
pelbagai juadah tradisional seperti roti jala, ubi rebus, tose serta kuih bakul, bermain
congkak di samping menyediakan pakaian mewakili tiga kaum utama iaitu baju
kurung dan baju melayu, baju Cheongsam serta Kurta untuk dipakai oleh para
peserta Jepun.

Program sepanjang tiga hari tersebut telah diuruskan oleh PKPP dengan bantuan
fasilitator dari kalangan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM serta kelab
Buddies UPM melalui kerjasama dengan Fakulti Pertanian, Pusat Antarabangsa dan
Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Pengarah PKPP, Prof. Madya
Dr. Omrah Hassan @ Hussin yang berharap program pertukaran belia seperti ini
dapat terus dilaksakanan sebagai aktiviti tahunan demi manfaat bersama.

“Penglibatan pelajar UPM dan Jepun dalam program pertukaran belia seperti ini
pastinya boleh membantu memperkasakan Dasar Pandang Ke Timur melalui
kerjasama strategik antara belia Malaysia dengan Jepun.

“Kita mahu pelajar UPM khususnya merebut peluang seperti ini untuk mempelajari
pelbagai nilai murni dari masyarakat Jepun yang boleh dijadikan contoh seperti
ketepatan masa serta menitikberatkan soal kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap belia Malaysia juga mengambil kesempatan melalui program seperti
ini untuk mengadakan lawatan ke Jepun bagi mempelajari dengan lebih mendalam
budaya mereka selain mempromosikan budaya dan amalan rakyat kita,” katanya.

Program tiga hari berakhir dengan majlis Sayonara bersama pegawai UPM, KBS
serta Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang. – MalaysiaGazette