RIYADH — Umat Islam di Arab Saudi akan menyambut 1 Ramadan pada Khamis ini susulan anak bulan tidak kelihatan pada petang Selasa.
Saudi Press Agency memetik kenyataan Mahkamah Diraja, keputusan untuk menyempurnakan 30 hari pada bulan Syaaban dibuat oleh Mahkamah Agung Arab Saudi.
Jabatan Pencerap Anak Bulan di Mahkamah Agung yang mengadakan sesi pada petang Selasa memaklumkan tiada siapa menyaksikan kelibat anak bulan Ramadan.
Justeru, Rabu atau 22 Mac ini diisytihar sebagai hari ke-30 Syaaban manakala 1 Ramadan jatuh pada Khamis mengikut Kalendar Umm Al-Qura.
Mahkamah Agung turut menzahirkan ucapan tahniah kepada penjaga dua masjid suci, Raja Salman, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman serta rakyat dan ekspatriat di negara itu sempena bulan Ramadan.
Ramadan tahun dijangka menjadi kemuncak musim umrah dengan menyaksikan jutaan jemaah masuk ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah itu.
Pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan kira-kira tiga juta jemaah dijangka tiba ke negara itu untuk mengerjakan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi sepanjang Ramadan.- Agensi