KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang memenangi pemilihan Sabtu lalu mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azalina Othman Said kerana dipilih sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu.
Isham yang menjawat jawatan itu selama empat bulan pada penggal lepas meminta ahli UMNO memberikan kerjasama kepada Azalina.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azalina Othman Said kerana telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan saya.
“Saya mohon supaya tuan-tuan dan puan-puan teruskan perjuangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Penerangan yang baru iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said, beliau adalah seorang pemimpin yang baik dan berkebolehan tinggi,” kata Isham.
Dalam kenyataan ringkas di media sosial, Isham turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melantik beliau ke jawatan tersebut dalam sesi lepas.
“Di kesempatan ini saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua anggota kerja dan jentera penerangan UMNO Malaysia dan di akar umbi kerana telah memberikan kerjasama kepada saya selama empat bulan saya menjadi Ketua Penerangan,” kata Isham.
Isham dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO selepas Shahril Sufian Hamdan meletakkan jawatan beberapa hari selepas Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu.
Dalam rombakan yang dilakukan hari ini, Ahmad Zahid mengumumkan Azalina sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu. Rombakan dibuat sejurus pemilihan UMNO selesai.
Azalina tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 yang berlangsung Sabtu lalu.- MalaysiaGazette