KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh tanpa kebenaran.

Kapal itu ditahan pada kedudukan kira-kira 17.1 batu nautika barat Sekinchan sekitar jam 4.10 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan kira-kira jam 2.30 petang.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal kargo yang tertera tanda nama TAO BRAVE pada badan kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kapal itu difahamkan dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Pelabuhan Klang.

Pemeriksaan ke atas kapal itu mendapati 22 kru lelaki termasuk nakhoda berusia di antara 27 hingga 62 tahun adalah warga Filipina dan kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan manakala kapten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette