KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis bagi menghentikan penganjuran ‘Hot Thai Guy’ yang menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita pada 30 Mac ini.
Exconya, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin yang menyifatkan penganjuran acara itu mencabar kemuliaan bulan Ramadan berkata, berdasarkan pemerhatian poster menunjukkan wujud unsur hiburan yang melibatkan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender.
“Gambar terbitan infografik poster tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki yang memakai pakaian wanita yang seksi telah menguatkan lagi andaian bahawa program tersebut melibatkan aktiviti hiburan yang melampaui batasan hiburan yang dibenarkan di negara ini.
“Tambahan pula tarikh penganjuran program itu adalah setelah bulan Ramadan bermula, dan ini satu penghinaan ke atas negara kita dan walaupun agama-agama lain boleh diamalkan oleh bangsa lain tapi ini mengundang ancaman dan tidak mahu umat-umat lain menggunakan perkara ini sebagai membalas dendam ataupun membuat provokasi,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.
Menurut Shahrul, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengambil memastikan perkara sama tidak berulang.
Tambah beliau, lebih 100 laporan polis telah dibuat oleh Pemuda UMNO di seluruh negara pada hari ini meminta tindakan dikenakan kepada penganjur program tersebut.
“Saya merasakan perlunya satu larangan yang tegas dan keras di sisi undang-undang serta merta agar tiada lagi mana-mana pihak mencabar sebegini selepas ini dan kami tidak mahu selepas ini ada pihak berani untuk anjurkan program tidak bermoral seperti ini di bumi Malaysia.
“Kalau bukan pada bulan puasa pun, program sebegini harus dihalang sepenuhnya kerana ia satu bentuk ancaman moral dan akhlak anak muda kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette