Pintu masuk ke Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 atau lebih dikenali sebagai Padang MPK 1.

KUANTAN – Menjelang bulan puasa esok, peniaga Bazar Ramadan di Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 atau lebih dikenali sebagai Padang MPK 1 di sini mula membuat persediaan khemah jualan mereka hari ini.

Dalam tinjauan MalaysiaGazette, rata-rata mereka memasang poster pemidang perniagaan masing-masing.

Kali ini tiada lagi pita kuning dipasang pihak berkuasa tempatan (PBT) di pintu masuk dan keluar tapak bazar tersebut seperti tahun lepas.

Mohd Nazrol Mohamed Nasir, 44, pengusaha Nazwan Kebab berharap dengan ketiadaan tali pita penghalang lagi, lebih ramai pengunjung akan membeli di bazar Ramadan kali ini.

“Itulah, dahulu ada tali pita, periksa suhu dan kali ni tiada. Harapnya, dengan ketiadaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat macam dulu, lebih ramai pengunjung dapat datang,” katanya.

Mohd Nazrol Mohamed Nasir

Mohd Nazrol berpengalaman berniaga di bazar Ramadan sejak 20 tahun lalu.

Ditanya persediaan bagi aktiviti penjualan tahun ini, beliau berkata, tidak banyak kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Cuma harga barang ada naik sikit. Setakat ni, ada dua jenis (kebab) naik harga. Sebab daging mentah, sos, mayonais dan roti naik harga sikit,” katanya.

Dalam pada itu, Nazrol teruja melihat tiada petak-petak khusus untuk orang awam berbuka puasa di Padang MPK 1 seperti tahun lepas.

Mohd Nazrol Mohamed Nasir sedang memasang poster pemidang di gerai jualannya yang terletak berhampiran dengan Padang MPK 1

Katanya, ini menunjukkan peluang cerah untuk lebih ramai pengunjung membeli belah di gerai-gerai di bazar kerana mereka boleh terus berbuka puasa di padang tersebut.

Pendapat sama dikongsi Luqman Hakim, 26, yang berniaga Nasi Arab bersama rakan-rakannya.

Ini merupakan tahun kedua dia berniaga di bazar Ramadan tersebut.

Luqman Hakim

“Tahun ini bila kita buat persiapan khemah jualan  lebih bersemangat untuk berniaga sebab memikirkan pengunjung sudah tidak terikat dengan SOP seperti sebelum ini,” ulasnya.

Lebih menarik, dia memaklumkan Nasi Arab dijual mereka juga boleh didapati di dua lokasi bazar Ramadan lain iaitu di Jaya Gading dan Taman Tas.

“Harapnya tahun ini lebih ramai pengunjung daripada tahun lepas. Sambutan pun kita anggarkan lebih baik daripada tahun lepas,” ujarnya.

Difahamkan, pada tahun ini, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengurangkan jumlah peniaga bazar Ramadan di sini kepada 130 peniaga berbanding kira-kira 200 tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pihaknya mengendalikan 33 bazar Ramadan dan tujuh bazar Hari Raya Aidilfitri untuk tahun ini dengan 1,775 permit diluluskan.

Antara lokasi bazar Ramadan adalah di Mahkota Square; Serambi Teruntum (tapak B), Stadium Darul Makmur, Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Dataran Sekilau dan Tasek Commercial Center di Kotasas.

Ketika dihubungi, beliau turut mengesahkan tiada lagi SOP berbuka puasa dan petak yang disediakan di Padang MPK 1 bagi mereka yang ingin berbuka puasa.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast