Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

TEMERLOH – Aktiviti orang muslim menziarahi gereja, kuil atau mana-mana rumah ibadat agama lain adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menegaskan,  jika tiada keperluan untuk berdakwah, umat Islam diharamkan daripada memasuki rumah ibadat bukan Islam.

“Ada pihak-pihak tertu mengajak sebahagian orang Islam untuk pergi ke gereja, kuil atau pergi ke mana-mana tempat persembahan orang bukan Islam adalah tidak sesuatu yang memberi faedah kepada umat Islam dan dilarang oleh agama.

“Sekiranya pergi untuk berdakwah atau menerangkan tentang Islam itu tidak mengapa. Sepatutnya orang Islam tidak terpengaruh untuk isu mengajak kita pergi gereja, sepatutnya umat Islam mengajak mereka ke masjid. Itulah dasar sebenarnya.

“Inilah yang terjadi  kita tidak mengambil perhatian untuk menyebar dakwah, jadi orang bukan Islam mengambil tempat untuk menyebar dakwah sedangkan di Malaysia mereka bebas menganut agama mereka tetapi tidak boleh menyebarkannya,” katanya.

Jelas Abdul Rahman, ia selaras dengan Perkara 3 dan 11 dalam Perlembagaan Islam.

Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa ‘Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Manakala Perkara 11 mengenai Kebebasan Ugama pula menyatakan ‘tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya’.

Ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Mengulas lanjut, Mufti Pahang berkata, menghadirkan diri ke rumah ibadat boleh memesongkan agama dan iman umat Islam.

“Kita mengharapkan umat Islam datang ke masjid, memang itu yan dicadangkan oleh Rasulullah SAW dan antara perkara yang boleh menyelamatkan kita di Padang Mahsyar nanti adalah orang yang sentiasa berjemaah di masjid.

“Biar kita mendahului datang berjemaah ke masjid  lima waktu dari terpengaruh pergi ke gereja tidak bersebab. Saya mengharapkan kepimpinan kita semua berjemaah di masjid dan menyeru kepada umat Islam beribadah di masjid merebut peluang bulan Ramadan ini.

“Ajaklah saudara mara dan jiran pergi ke masjid,” katanya.

Sebelum ini, Program Ziarah Gereja anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan menjadi kontroversi sehingga menjadi kes siasatan polis.

Bagaimanapun, pada 14 Mac lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sidang Dewan Rakyat memberitahu, program Jom Ziarah Gereja yang dianjurkan NGO itu tidak langsung melibatkan individu beragama Islam seperti mana diuar-uarkan oleh pihak tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast