sistem kesihatan harga telur subsidi bersasar doktor kontrak
Lawrence Low

KUALA LUMPUR – Pengguna mungkin terpaksa membeli telur pada harga yang lebih tinggi sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri sekiranya masalah bekalan bahan makanan itu tidak diatasi segera.

Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, masalah kekurangan telur telah melanda beberapa bahagian dunia sehingga menyebabkan harganya meningkat secara mendadak.

Menurut beliau, di Amerika Syarikat dan Jepun sahaja, harga telur telah melonjak lebih daripada 70 peratus.

“Kerajaan kita telah cuba menyelesaikan isu bekalan telur melalui mengimport telur. Oleh itu, boleh diramalkan bahawa isu yang sama akan timbul semula pada masa hadapan kerana faktor lain perlu dipertimbangkan seperti selesema burung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lawrence juga bimbang isu bekalan telur mungkin tidak dapat diselesaikan sehingga Jun ini walaupun telah diberi jaminan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau menambah, kerajaan mesti bersedia untuk sebarang gangguan yang tidak dijangka dalam rantaian bekalan sambil mencari kaedah untuk penambahbaikan.

“Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan penternak dan pengusaha ayam dan memulakan sesi dialog dengan mereka. Ini bagi membantu penternak ayam domestik dalam pengeluaran telur pada harga yang berpatutan, sekali gus mengurangkan kos sara hidup pengguna,” jelasnya.

Lawrence berkata, Mohamad seharusnya memulakan dialog dua hala dengan pihak berkepentingan dalam industri dan bukan menangani masalah kekurangan telur secara sehala sahaja.

Beliau memberitahu, kerajaan juga harus memberi tumpuan untuk membantu penternak ayam tempatan dan bukan bergantung kepada import telur asing kerana punca masalah masih belum ditangani.

Dalam pada itu, Lawrence turut menggesa semua ahli Parlimen agar bersolidariti dengan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang berdepan tindakan guaman ekoran kelantangan Presiden MCA itu menyuarakan isu bekalan telur dalam sidang Dewan Rakyat.

“Pertahankanlah hak Perlembagaan ahli-ahli Parlimen untuk bersuara demi kepentingan rakyat di Parlimen dengan kekebalan selagi topik tersebut tidak bercanggah dengan Akta Hasutan mahu pun menghina Yang Di-pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette