SEPANG- Seketariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif untuk
menganjurkan program yang berteraskan khidmat komuniti dan kemasyarakatan iaitu KMB Bonding di Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang.
Program ini dianjurkan bertujuan memberi pendedahan dan pembelajaran secara terus kepada penduduk Orang Asli mengenai kepentingan mengutamakan kesihatan mereka.
Pengarah program, Ahmad Syahrir Haqqimi Ismail, Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, berkata program ini memberi rawatan kesihatan secara percuma
antaranya adalah pemeriksaan Body Mass Index (BMI), pemeriksaan gigi dan Pemeriksaan aras Glukosa di dalam badan.
“Program ini dapat menjalinkan hubungan baik sesama masyarakat khususnya kepada pelajar UPM dalam mengaplikasikan kemahiran berkomuniti yang sebenar selari dengan
tema program, “mahasiswa prihatin masyarakat terjamin.
“Saya percaya program ini sangat berpotensi untuk menjayakan hasrat UPM untuk melahirkan mahasiswa yang bukan hanya bersaing untuk memburu kecemerlangan
akademik bahkan mampu juga melahirkan graduan prihatin kepada masyarakat sekitar,” katanya.
Program bersama masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang ini telah dianjurkan pada 19 Mac lalu bersama 30 orang sukarelawan dan 44 orang
ahli jawatankuasa pelaksana.
Sementara itu, Tok Batin, Batin Ramun Shari berkata program seperti ini amat dialu-alukan oleh semua penduduk di kampung ini demi menjamin taraf kesihatan penduduk Orang Asli di sini.
Ini kerana kawasan kampung ini terletak jauh di pendalaman dan sukar untuk mendapatkan rawatan atau nasihat kesihatan dari pusat rawatan kesihatan terdekat.
“Semoga program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette