Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,572 kematian akibat penyakit tibi di negara ini direkodkan pada tahun lalu.

Jumlah berkenaan meningkat sebanyak 284 berbanding 2,288 kematian pada tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah kes penyakit tibi dalam negara pada tempoh sama juga meningkat 3,664 kes berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2022.

Bagaimanapun katanya, anggaran  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jumlah kes tibi dalam negara lebih rendah berbanding sasaran pertubuhan berkenaan.

“WHO menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100,000 penduduk,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Tibi Sedunia hari ini.

Tema bagi Hari Tibi Sedunia pada tahun ini adalah “Yes! We Can End TB!”.

Tema ini memberi inspirasi dan harapan kepada negara dalam usaha dan strategi menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035 melalui penglibatan kepimpinan peringkat tinggi bagi meningkatkan pelaburan dan bersama-sama menggembeling seluruh usaha, tenaga, kepakaran dan inovasi.

Sehubungan itu Zaliha berkata, usaha bagi meningkatkan kadar pengesanan kes melalui saringan awal penyakit tibi perlu ditingkatkan.

Ujarnya, bagi mengurangkan kematian individu yang mempunyai gejala tibi seperti batuk berpanjangan dua minggu, demam, berpeluh waktu malam dinasihatkan menjalani pemeriksaan awal.

Individu yang dijangkiti tibi boleh sembuh dengan mengambil rawatan yang telah diberikan.

“Rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah kombinasi ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan.

“Pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” jelasnya.

Katanya lagi, pesakit tibi perlu sentiasa mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan ubatan.

Tambah beliau, stigma terhadap pesakit berkenaan juga perlu dihentikan.

“Komitmen yang tinggi dari anggota kesihatan di samping kerjasama yang erat dari semua agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia menamatkan tibi menjelang tahun 2035 menjadi kenyataan,” ujar Zaliha.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast