KUALA LUMPUR – Kajian pelbagai aspek akan diambil kira untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA,) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar kepada kumpulan T20 bukan perkara baru dan ia masih lagi dalam peringkat kajian.
Menurut beliau, cadangan itu timbul bagi memenuhi tuntutan dan harapan masyarakat terhadap MRSM cukup tinggi berdasarkan permohonan kemasukan yang luar biasa.
“Idea MRSM berbayar bukan idea baharu dan sudah di dalam kajian kita dan apabila saya melihat bahawa tuntutan dan harapan masyarakat kepada MRSM terlalu tinggi.
“Tahun ini sahaja, seramai 90,000 yang memohon di mana tempatnya (kekosongan) hanya 7,100.
“Kita tak boleh hanya fokus kepada yang B40, M40, T20 sahaja.
“Apa pun, matlamat MARA itu kita jaga. Sebab itu kita pastikan adanya 60 peratus sekurang-kurangnya dalam kalangan B40 dan selebihnya ada tambahan M40 dan T20,” katanya dalam sesi soal jawab bersama media dan majlis berbuka puasa, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, cadangan mewujudkan MRSM berbayar kepada golongan berkemampuan tidak akan membabitkan peruntukan kerajaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelan futuristik yang sedang disusun atur MARA itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.
Beliau juga memberikan jaminan MRSM berbayar tidak akan didirikan di atas tanah MARA yang dikhususkan untuk manfaatkan rakyat miskin.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar adalah berpandukan kepada realiti kehidupan hari ini.
“Sebab apa yang paling penting kita tak mahu anak-anak kita ini berada di sekolah yang terpisah daripada realiti masyarakat sebenar.
“Realiti kehidupan di luar, kita bukan sahaja hidup dalam kalangan B40 sahaja, M40 sahaja atau pun T20 sahaja,” katanya.
Sementara itu, Asyraf menafikan dakwaan yang melabelkan MRSM kini dikuasai oleh golongan elit.
Sebaliknya beliau berkata, data menunjukkan MRSM masih berada pada asas penubuhannya untuk membantu orang Melayu.
“Untuk menjawab sesetengah persepsi nakal yang mengatakan seolah-olah MRSM hari ini didominasi oleh golongan elit, golongan kaya T20, itu tidak benar.
“Saya membuat komen berasaskan data yang ada dalam MRSM dan juga di bahagian pendidikan menengah,” katanya. – MalaysiaGazette
Siapa yg bayar gaji guru2 MRSM elit ini??? Dana MARA? ker mak bapak yg kaya raya itu??