Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon memuji padang Stadium Sultan Ibrahim selepas Malaysia menewaskan Turkmenistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, di sini, malam tadi.

Ia adalah kali pertama Harimau Malaya beraksi di stadium berkenaan yang merupakan pusat latihan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), susulan penutupan Stadium Nasional di Bukit Jalil awal tahun ini, bagi pemasangan rumput baharu, Zeon Zoysia, yang juga digunakan di sini.

Warga Korea Selatan itu berkata, keadaan padang tersebut membolehkan anak buahnya melakukan permainan pantas, justeru beliau berterima kasih kepada JDT kerana menawarkan pasukannya untuk berlatih serta bermain di sini bagi dua aksi persahabatan, termasuk menentang Hong Kong pada 28 Mac ini.

“Ia (padang) baik dan kami boleh bermain permainan pantas, jika kami ada lebih ramai pemain laju kami boleh beri anda lebih banyak gol. Dari segi pemain, saya berpandangan mereka mesti menyesuaikan diri (dengan kualiti padang) kerana kami mungkin akan bermain di padang yang lebih baik di Qatar (Piala Asia 2023), lebih banyak permainan pantas dan lawan yang lebih kuat.

“Secara keseluruhannya, (bermain di Stadium Sultan Ibrahim) adalah latihan yang baik untuk kami dan kami juga dalam persekitaran yang baik, terima kasih JDT kerana menyediakan padang ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pemain sayap JDT Muhammad Akhyar Abdul Rashid muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa pertama.

Malaysia mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol dengan beberapa percubaan cantik, namun penjaga gol Turkmenistan Rasul Charyyev bertindak cemerlang termasuk menepis tendangan gunting Muhammad Akhyar dan menghalang serangan berganda Mohamad Faisal Abdul Halim pada separuh masa kedua.

Ini adalah kemenangan kedua Malaysia ke atas Turkmenistan selepas menewaskan skuad ‘The Green’ itu, 3-1, dalam aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Jun tahun lepas. – BERNAMA