Dr. Sharifudin Md Shaari ketika melancarkan kad V-ID baru-baru ini.

NILAI – Dalam usaha menyokong digital transformasi di dalam pendidikan tinggi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan kad Virtual ID (V-ID) USIM menerusi platform USIM Mobile 2.0.

Naib Canselor Prof Dato Ts. Dr. Sharifudin Md Shaari berkata, idea pelaksanaan kad V-ID  ini tercetus pada penghujung tahun 2022 dengan kerjasama dari kumpulan teknikal Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC), Pusat Komunikasi Strategik, Jabatan Keselamatan dan Jabatan Pendaftar.

“Universiti sentiasa menyokong perkembangan era permodenan dan teknologi terkini. Dengan kewujudan kad ini ia bertindak sebagai alternatif pengenalan diri secara fizikal kerana ia memudahkan capaian di ‘hujung jari’ menggunakan telefon pintar tidak kira masa dan tempat”, katanya.

Menurut Dr. Sharifudin lagi, aplikasi USIM Mobile edisi 1.0 yang telah dibangunkan pada Ogos 2019 adalah untuk keperluan capaian terutamanya pelajar sarjana muda untuk semakan keputusan peperiksaan dan lejer pelajar.

Tambahnya, penggunaan aplikasi ini secara optimum semasa pandemik Covid-19 pada bulan Mac 2020 untuk tujuan pengrekodan kehadiran staf semasa bertugas secara Bekerja Dari Rumah (BDR).

“Dengan pelaksanaan USIM Mobile ini, penerapan konsep ‘Bring Your On Device’ (BYOD) kepada staf telah dikuatkuasakan serta-merta yang mana semua warga USIM perlu menggunakan telefon pintar masing-masing untuk akses ke dalam aplikasi USIM Mobile dan tiada lagi Kiosk Mesin myAKRAB disediakan”.

Kini, USIM telah menaik taraf fungsi aplikasi kepada versi USIM Mobile 2.0 dan pihak pengurusan universiti mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) yang telah mengambil tindakan proaktif bagi merealisasikannya dalam tempoh masa yang singkat.

USIM antara universiti yang terawal membangunkan V-ID ini selain Universiti Putra Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast