KUALA LUMPUR – Kira-kira 313 keluarga yang terjejas dengan bencana banjir dari enam kampung dalam daerah Rompin menerima sumbangan berbentuk bakul makanan dan wang tunai.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, antara yang menerima bantuan adalah penduduk kampung Orang Asli dan kampung tradisi di Kg. Bukit Serok; Kg. Meripoh; Kg. Rekoh; Kg. Perwira Jaya; Kg. Lubok Batu; Kampung Gadak dan Kuarters Dara Teh.
Ujarnya, kotak makanan dan bakul makanan Rahmah berkenaan disumbangkan oleh rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) antaranya Yayasan Food Bank Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, BS Freshmart dan NGO Mawaddah.
“Manakala sumbangan wang tunai berjumlah RM72,000 disumbangkan oleh Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Yayasan Takwa,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, sehingga kini Sekretariat Food Bank Malaysia bersama Rakan-Rakan Strategik Utama program Bakul Rahmah telah mengagihkan sumbangan dan ditempatkan di 41 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) lima buah negeri iaitu Terengganu, Perak, Pahang, Johor dan Kelantan.
Sejak banjir melanda pada 1 Mac 2023, KPDN melalui Pejabat KPDN Negeri Pahang telah menghulurkan bantuan kepada 837 mangsa banjir di Pahang melibatkan kawasan Chini, Raub, Jerantut, Temerloh dan Rompin.
Sebanyak 800 bungkusan sumbangan bantuan Food Bank dan Bakul Rahmah telah diberikan kepada mereka yang terkesan daripada musibah ini. – MalaysiaGazette