Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari . Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan kini sedang dalam fasa akhir memuktamadkan cadangan untuk meneruskan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) melalui penyediaan memorandum Jemaah Menteri yang dijadual dibentangkan dalam masa terdekat ini.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, butiran terperinci mengenainya hanya akan dimaklumkan selepas mendapat keputusan daripada Jemaah Menteri nanti.

“Ada tadi (ahli Parlimen) membangkitkan tentang detail design (reka bentuk terperinci). Untuk makluman Yang Berhormat, kelulusan ‘detail design’ ini sudah dihentikan oleh Naval Group disebabkan isu pembayaran tergendala daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB).

“Namun, Kementerian Pertahanan dan BNSSB sudah mendapat kerjasama dengan pihak Naval Group yang mana Naval Group selaku ‘design authority’ sudah melaksana pengauditan semula kerja reka bentuk oleh BNSSB pada hujung 2022.

“Hasil auditan itu, pihak Naval Group sudah memperakui 84 peratus berbanding 94.7 peratus sudah dilaksana oleh BNSSD. Baki ‘detail design’ ini yang masih belum disiapkan hanya membabitkan zon kapal atas permukaan air,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 Peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan.

Menurut Adly, dengan perkembangan yang ditunjukkan itu, beliau berpandangan tiada masalah untuk meneruskan projek LCS ini kerana baki ‘detail design’ yang belum siap melibatkan peratusan kecil.

“(Saya melihat) tiada masalah kalau LCS ini diteruskan, namun tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri secara keseluruhannya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober tahun lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata, pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun lalu.

Pada Januari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Kerajaan Perpaduan akan meneruskan projek pembinaan LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut.

Menurut Mohamad, usaha itu turut membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi merealisasikan penyiapan aset ketenteraan berkenaan. – MalaysiaGazette