Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna menunjukkan inflasi yang berlaku masih tidak dapat diturunkan dan keadaan harga makanan yang melambung juga dijangka berterusan.

Nanyang Siang Pau melaporkan, walaupun harga sayur-sayuran menjadi lebih stabil susulan cuaca yang cerah, tetapi makanan lain pula dijangka mengalami kenaikan harga.

Presiden Persatuan Pengusaha Beehoon Malaysia, Datuk Ang Cho TeingĀ  berkata, harga mihun telah mengalami kenaikan sekali sejak tahun lalu iaitu daripada RM4.80 sekilogram kepada RM5.10 sekilogram.

“Kenaikan mungkin berlaku sekali lagi kerana kekurangan bekalan beras hancur yang diimport manakala harga import telah melonjak daripada RM1,700 kepada RM2,250 satu tan.

“Dalam keadaan kos yang kekal tinggi, pengilang terpaksa meneliti kemungkinan menyelaraskan harga,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Ditanya tentang implikasinya ke atas pasaran, Cho Teing berkata, kesan ke atas isi rumah biasa adalah tidak besar kerana setiap kilogram dijangka naik 30 sen.

Ditanya kemungkinan menggunakan beras tempatan berbanding beras import, Cho Teing berkata, keadaan itu tidak membantu dalam keadaan kekurangan bekalan.

“Jika menggunakan beras tempatan, ia sebaliknya akan menyebabkan perebutan untuk beras tempatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berkata, telur dan daging ayam bukan punca yang menyumbang kepada Indeks Harga Pengguna yang tinggi.

Beliau berkata, harga dua makanan itu adalah dikawal oleh harga siling dan Malaysia merupakan negara yang mempunyai telur paling murah di dunia.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee pula berkata, walaupun harga sayur meningkat 40 hingga 50 peratus pada Januari dan Februari kerana faktor cuaca, tetapi harga berkenaan kembali stabil pada Mac.

Jelasnya, harga sayur selalunya bergolak mengikut keadaan iklim kerana cuaca yang cerah menjamin penuaian lumayan, yang seterusnya menyebabkan penurunan harga di pasaran.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast