IMBAS KEMBALI. Keadaan gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) berikutan terlibat dalam kemalangan dua LRT yang bertembung dari arah Gombak dan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu ketika ditunda di Kompleks Rapid Rail Subang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai lapan mangsa insiden kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini.

Difahamkan mangsa, Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35 menyaman Rapid Rail (defendan pertama) dan Prasarana (defendan kedua) sebanyak RM860,000.

Ini merupakan insiden dua dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung sehingga menyebabkan beberapa penumpang cedera pukul  9.15 malam, 24 Mei 2021 lalu.

Dalam saman itu menyebut, Rapid Rail dan Prasarana bukan sahaja cuai dan gagal dalam memastikan keselamatan penumpangnya sehingga menyebabkan kecederaan serius dua tahun lalu lepas sebaliknya prosedur operasi standard (SOP) juga disifatkan gagal.

Turut dikemukakan ialah tindakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut berjenaka dengan berkata, kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain dan dilihat ketawa ketika pada sidang media berhubung kejadian berkenaan.

Kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lima peratus setahun dari dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman selain ganti rugi khas.

Pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.

Dalam kejadian pada 8.33 malam, 24 Mei 2021, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Kemalangan itu juga mengakibatkan 47 penumpang cedera parah, manakala 166 mengalami kecederaan ringan.

Turut tular ketika itu video dan gambar-gambar di media sosial yang menunjukkan ratusan penumpang bergelimpangan termasuk sebahagiannya mengalami kecederaan parah.

Suasana panik dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial manakala beberapa penumpang terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai.

Ada juga gambar sekumpulan penumpang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut. – MalaysiaGazette