KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying meletakkan jawatannya hari ini.
Menurut Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), Hui Ying gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil kerajaan dalam memberikan jawapan di Dewan Rakyat.
“Ini satu pembaziran kepada wang kerajaan, menggaji seorang timbalan menteri tapi tidak melaksanakan tugas dia, benda mudah jawab soalan.
“Saya usulkan supaya timbalan menteri berkenaan dan menterinya supaya berundur dan letak jawatan, ini perkara yang tidak patut berlaku.
“Hadir di Parlimen tapi tidak bersedia untuk menjawab soalan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Marzuk pagi tadi bertanyakan Kementerian Pendidikan untuk memperincikan peruntukan program rancangan khas Rancangan Makanan Tambahab (RMT) dan mekanisme pemantauan makanan RMT bagi memastikan murid mendapatkan makanan yang berkhasiat.
“Menteri tidak ada dalam dewan tapi dibantu oleh timbalan menteri, sayangnya timbalan menteri tidak menyediakan jawapan.
“Dia tidak bersedia dan minta maaf tidak ada jawapan. Ini perkara yang tidak sepattunya berlaku, kalau tidak ada jawapan kepada soalan asal, maka tambahan boleh diutarakan.
“Seorang menteri dan timbalan menteri datang ke Dewan Rakyat kena dengan persediaan, kalau datang sekadar untuk memenuhi kerusi kerajaan itu bukan tanggungjawab seorang menteri,” katanya lagi.
Jelas Ahmad Marzuk lagi, timbalan menteri telah diberikan jawapan dan sepatutnya beliau membacakan jawapan itu kepada Dewan Rakyat.
“Jawapan sudah ada, sepatutnya kerajaan sudah sediakan baca sahaja jawapan tersebut dan tidak bawa dan baca.
“Ini tidak betul sebab kita pernah jadi kerajaan dan dua minggu sebelum itu sudah selesai bab jawapan. Saya tidak tahu timbalan menteri itu tidak masuk pejabat atau pun tidak adakan mesyuarat,” kata Marzuk lagi. – MalaysiaGazette