PUTRAJAYA – Cadangan bagi mewujudkan ‘Pasar raya Rahmah’ perlu melalui proses libat urus antara pelbagai pihak terutama penggiat industri terlebih dahulu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia tidak akan dilaksanakan sewenang-wenangnya.
“Masa akan menentukan tetapi sebagai mana inisiatif lain, kita akan mengadakan libat urus dengan pemain industri dahulu.
“Setiap program dan inisiatif Rahmah termasuk Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah dan Jualan Rahmah semuanya melalui libat urus dan akhirnya menghasilkan kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat kebangsaan dan sesi walkabout peniaga di Presint 14, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Salahuddin yakin kejayaan idea pasar raya itu dengan keberhasilan inisiatif konsep ‘Rahmah’ dapat dilihat melalui pakej Insurans Rahmah, yang sedang menuju ke tahap kedua.
“Insya-Allah (akan menjadi kenyataan) sebagaimana saya buat terhadap produk perbankan dan insurans yang sudah menampakkan keberhasilan.
“Kita sedang menuju tahap yang kedua dari segi segmen insurans dan kita akan lancarkan dengan kadar yang segera,” ujarnya.
Pada 11 Mac lalu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, idea mewujudkan ‘pasar raya mampu milik’ mungkin tidak akan berjaya.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) melihat cadangan untuk mewujudkan pasar raya yang menjual barangan mampu milik.
Mengulas mengenai sambutan inisiatif Rahmah yang telah dimulakan sejak dua bulan lalu, Salahuddin berkata, ia semakin mendapat sambutan daripada peniaga dan rakyat.
“Namun begitu, jangan salah anggap kononnya kementerian ini memandang sepi mana-mana premis yang tidak mengadakan inisiatif Rahmah.
“Kita sangat mengalu-alukan dan sebagai menteri, saya mahu ekonomi tempatan berkembang dengan cepat.
“Jual lah dengan harga apa pun itu tidak jadi masalah asalkan mereka menepati dan tidak berlaku pencatutan, pengambilan untung yang berlebihan,” katanya
Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPDN akan mengumumkan harga maksimum barangan kawalan sempena sambutan Aidilfitri dua minggu lagi.
“Apa yang penting, rakyat dapat berbelanja dengan rasa gembira. Jadi, saya akan umum dua minggu lagi termasuk dengan barangan asas,” jelasnya. – MalaysiaGazette