KUANTAN – Kerajaan Pahang belum berbincang mengenai cadangan pelaksanaan undang-undang berkaitan anti lompat parti (RUU Akta Anti Lompat Parti) dalam kalangan wakil rakyatnya.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, usul berkaitan pindaan Perlembagaan Negeri itu perlu mendapat persetujuan dua pertiga wakil rakyat jika dibentangkan.
“Kita sedang fikirkan. Kalau kita bentang, kita perlu dapat sokongan dua pertiga. Kerajaan yang ada hari ini tak cukup dua pertiga,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh sebanyak 17 kerusi sama, manakala PH berjaya memperoleh lapan kerusi.
“Tapi kalau mereka (wakil rakyat) setuju, kita akan bentang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei nanti,” tambah ADUN Jelai itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster pelajar Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau, Inderapura Jaya hari ini.
Sehingga kini, hanya Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak telah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN. – MalaysiaGazette