Peniaga, Nor Fadzelli Nor Asmadi didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk jelik di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2023.

SEPANG – Seorang peniaga pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini atas dakwaan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Johor melalui aplikasi Twitter.

Orang Kena Saman, Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, membuat pengakuan itu dan memohon bicara selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Mai Zairani Zainal Abidin.

Mengikut fakta pertuduhan, Nor Fadzelli didakwa telah secra sedar memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya iaitu “Sultan Johor Bangsat” terhadap Sultan Johor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan aplikasi akaun Twitter @fadzelli6 pada 23 November 2022 pada oukul 10.38 malam dan kemudian ia dilihat pada 25 November 2022 di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya.

Dia dituduh di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamad Fadzil yang mengendalikan pendakwaan itu mencadangkan kepada mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang masih bujang dan tidak diwakili peguam dalam rayuanya meminta mahkamah mengurangkan nilai jaminan kerana menanggung seorang ibu dan lima adik-beradik.

Setelah mendengar hujah berkenaan, Hakim Azrol Abdullah menetapkan wang jaminan RM4,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula penyerahan dokuman kes dan memerintahkan tertuduh menyediakan peguam.- MalaysiaGazette