Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini adalah satu lawatan yang gagal.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, lawatan itu langsung tidak melibatkan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, jemputan itu adalah undangan daripada kerajaan Arab Saudi.

“Bagi kami (PN), lawatan ini gagal kerana seperti yang dimaklumkan oleh Wisma Putra dalam kenyataan media sebelum PM pergi ke Arab Saudi, kenyataan berkata, PM dijemput oleh Raja Salman sendiri dan Perdana Menteri Arab Saudi sendiri.

“Tapi kalau jemputan ini dibuat secara rasmi seperti yang dijelaskan oleh Wisma Putra, mengapa tiada langsung pertemuan rasmi tersebut seperti mana yang diterima PM terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar mengadakan lawatan secara rasmi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac lalu.

Untuk rekod, laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2023 menyatakan sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam’.

Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa adakah benar dakwaan kerajaan Arab Saudi enggan bertemu dengan Anwar dalam sesi lawatan rasmi tersebut.

“Adakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu dengan Perdana Menteri, sebab kita lihat laporan media khususnya Arab Saudi melaporkan Raja Salman dan Putera Mahkota ada di Jeddah ketika di sana.

“Mereka bukan di luar negara, ini menimbulkan persoalan samada hubungan Malaysia dan Arab Saudi menjadi dingin dan mungkin akibat penutupan King Salman Center for Internasional Peace ketika kerajaan PH dahulu,” katanya lagi.

Justeru itu, PN mendesak agar Anwar untuk memperincikan lawatan itu di Dewan Rakyat esok ketika sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

“Ini perlu dirungkaikan Perdana Menteri esok dalam sesi pertanyaan PM, kami harap soalan yang dibawa pembangkang diangkat speaker untuk dijawab oleh PM. Kami tidak lari dan nak dengar jawapan PM, ini jelas memalukan dan tidak salahkan Wisma Putra.

“Kami nak tanya mengapa PMO boleh buat lawatan tergesa-gesa yang mengatakan seolah-olah ada jemputan rasmi tetapi sebenarnya tidak ada, ini memalukan Malaysia.

“Kami tuntut penjelasan daripada PM dan Menteri Luar berhubung masalah ini. Jangan ulangi kesilapan diplomatik melibatkan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Haaa bila masa plak Raja Arab Saudi jumpa Muhyidin penyamun tu…ada gambar kaaa? Raja Arab Saudi cuma jumpa DS Najib jee…bodoh mcm keldai kau ni

Comments are closed.