KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merangka kaedah yang berkesan bagi memastikan penyelewengan subsidi bersasar dapat dihapuskan.
Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, Akta Kawalan Bekalan 1961 perlu ditambah baik dan hukuman yang lebih berat seharusnya dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah menyalahgunakan atau menyeleweng subsidi kerajaan.
“Pelaksanaan yang tidak bersasar menyebabkan ketirisan berlaku.
“Justeru, saya memuji kerajaan kerana komited dalam melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, pelaksanaan subsidi bersasar perlu benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran atau mereka yang memerlukan.
“Jika tidak, hasil negara akan dibazirkan kepada mereka yang tidak sepatutnya seterusnya menggagalkan matlamat kerajaan,” jelasnya.
Lawrence turut menggesa kerajaan supaya mempercepatkan penetapan kriteria penerima subsidi bersasar.
Selain itu, beliau memberitahu, lebih banyak sesi libat urus dengan pemain industri termasuk para usahawan dan peniaga serta ketua-ketua masyarakat perlu dianjurkan agar pemahaman mengenai pemberian subsidi bersasar lebih difahami oleh rakyat. – MalaysiaGazette