MELAKA – Seorang tukang gunting rambut warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pesara, Februari lalu.

Tertuduh S Logamurugan, 27, bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil dihadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki Sa’adon Sahat, 57.

Kesalahan itu dilakukan di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, Melaka Tengah antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, 27 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 302 selain tertuduh yang tidak diwakili peguam adalah wargan India.

Majistret Sharda Shienha kemudian menetapkan 10 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pada 1 Mac lalu, MalaysiaGazette melaporkan mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 2.04 petang sehari sebelumnya selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa akibat dirempuh seorang pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi 27 Februari lalu.

Lelaki itu yang memandu kereta jenis Perodua Axia dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila mangsa menegurnya dan rakannya kerana memasang muzik yang kuat dari kenderaannya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast