KUALA LUMPUR – Isu lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini yang dimainkan secara negatif oleh pihak tertentu lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan sedemikian jelas tidak adil kepada kementerian itu, kerajaan Malaysia, Kementerian Luar dan kerajaan Arab Saudi.
“Dalam konteks ini, Kementerian Luar menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha kementerian memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa,” katanya.
Dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap lawatan Anwar ke Arab Saudi sebagai gagal.
Beliau beranggapan sedemikian kerana lawatan itu langsung tidak melibatkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atau Putera Mahkota Mohammed Salman sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan jemputan itu adalah daripada kerajaan Arab Saudi.
Wisma Putra menambah, Kementerian Luar telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan lawatan rasmi tersebut secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.
Menurut Wisma Putra, ia adalah sepertimana yang dilaksanakan bagi lawatan-lawatan yang diadakan sebelum ini dan juga lawatan terkini iaitu lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja semalam yang telah berjalan dengan lancar dan jayanya.
“Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.
“Malaysia sentiasa menganggap kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik,” jelasnya.
Berhubung persiapan rasmi bagi lawatan tersebut, Wisma Putra menjelaskan, Kementerian Luar telah membuat persiapan awal termasuk beberapa siri perbincangan dengan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur serta pertemuan dan perbincangan dengan Duta Besar Arab Saudi di kementerian itu setelah mendapat cadangan tarikh lawatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di Arab Saudi, Putera Salman Farhan Al-Saud semasa lawatan ke Riyadh mulai 19 hingga 23 Februari lalu.
“Perbincangan dengan rakan sejawatannya menyentuh secara spesifik tentang lawatan Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh-tarikh serta perancangan hasil-hasil lawatan,” katanya.
Wisma Putra berkata, perbincangan turut diadakan antara Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar Arab Saudi serta beberapa pihak lain yang berkenaan di negara tersebut ke arah menentukan supaya lawatan rasmi Perdana Menteri diadakan dengan jayanya.
“Perbincangan-perbincangan tersebut telah menyerlahkan kesediaan di pihak kerajaan Arab Saudi untuk menerima dan menentukan supaya lawatan rasmi Perdana Menteri berjaya diadakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” jelasnya.
Mengenai penetapan masa lawatan itu, Wisma Putra memberitahu, cadangan tarikh awal untuk lawatan diadakan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan tidak menjadi isu bagi pihak Arab Saudi.
Wisma Putra menjelaskan, perkara itu telah dinyatakan dengan jelas semasa perbincangan dan Kementerian Luar turut dimaklumkan kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin asing dalam bulan Ramadan.
“Sebelum ini, Kementerian Luar Arab Saudi pernah membuat cadangan balas kepada tarikh lawatan seorang pemimpin Malaysia dalam bulan Ramadan,” katanya.
Tambah Wisma Putra, Kementerian Luar telah menerima nota diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac lalu yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi.
Kata Wisma Putra, nota diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada kerajaan Arab Saudi.
Wisma Putra berkata, kedua-dua nota diplomatik tersebut merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac lalu termasuk program kunjungan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed.
“Kedua-dua nota diplomatik tersebut jelas menyatakan kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.
“Kementerian Luar ingin menjelaskan bahawa nota diplomatik merupakan antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan,” jelasnya.
Secara keseluruhan, kata Wisma Putra, program-program lawatan rasmi Perdana Menteri berjalan dengan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac lalu.
Wisma Putra berkata, delegasi Malaysia telah diberikan taraf tetamu negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Pengawal Diraja Saudi dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi.
“Kemudahan-kemudahan taraf tetamu negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Mekah di mana lebih 50 anggota keselamatan mengiringi perdana menteri.
“Kemudahan-kemudahan tersebut turut disediakan semasa ziarah di Madinah,” katanya.
Wisma Putra memberitahu, delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun, kata Wisma Putra, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik permintaan tersebut tidak dapat
dipenuhi disebabkan komitmen Anwar yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.
“Ini termasuk Majlis Iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac lalu dan lawatan rasmi perdana menteri ke Kemboja semalam,” jelasnya.
Wisma Putra berkata, lawatan Anwar itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif.
Menurut Wisma Putra, Anwar telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Islam termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL) dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB).
“Semasa di IsDB, Perdana Menteri turut menyampaikan ucaptama dalam satu majlis yang dihadiri seramai lebih 300 orang tetamu termasuk Presiden pertama IsDB serta tokoh-tokoh ilmuan dan pakar pakar ekonomi dan kewangan,” katanya.
Selain itu, Wisma Putra memberitahu, Anwar turut mengadakan sesi meja bulat perniagaan bersama 20 orang ahli perniagaan terkemuka Arab Saudi serta wakil-wakil komuniti perniagaan Malaysia.
Wisma Putra berkata, Anwar telah menyaksikan pemeteraian perjanjian usahasama Dagang Nexchange Bhd. dan Ajlan & Bros Holding Group Co yang melibatkan kerjasama bagi pengeluaran cip untuk semikonduktor termasuk pembukaan kilang di Negeri Sembilan.
“Anwar juga menyaksikan pemeteraian memorandum persetujuan (MoA) antara Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co yang melibatkan aspek latihan kepada jemaah haji di seluruh dunia.
“Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Qhub International Sdn. Bhd. dan Eromman Technologies berkenaan produk kelengkapan rumah,” jelasnya.
Wisma Putra menambah, Anwar turut menghadiri sesi-sesi perjumpaan dan iftar bersama rakyat Malaysia di Jeddah dan Madinah. – MalaysiaGazette
Budaya orang Arab, jika menjemput tetamu mereka akan meraikan secara bersungguh2. Tapi yang ni amat berbeda? Dua2 raja tak jumpa, khabarnya mereka berada didalam negara ketika itu.
Ini pandangan orang awam sahaja.