SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas melakukan siasatan terhadap agensi yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seawal hari pertama Kerajaan Perpaduan , tiga perkara ditekankan iaitu penstrukturan ekonomi, jaminan keadilan sosial dan tatakelola tadbir urus.
“Kita (KDN) buka 25 jam sehari dan itulah komitmen kita dan keterbukaan bahawa usaha untuk menangani dan memerangi amalan rasuah ini harus berlaku dari atas iaitu iltizam politik hingga ke peringkat bawah.
“Jadi dengan cara menghormati dan iktiraf peranan agensi penguatkuasa seperti SPRM, itulah pendirian saya sepanjang terajui KDN,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar KDN Madani bersama Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguatkuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.
Tambah beliau, masyarakat diminta membuat laporan kepada SPRM jika mempunyai bukti bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Itu menunjukkan ketelusan dan keterbukaan kami di peringkat KDN yang mengalu-alukan siasatan pihak penguatkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette