Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat mengarahkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Mohamad Che Zulkifly Jusoh keluar dewan dan menggantung kehadirannya selama tiga hari bermula hari ini.

Keputusan itu dibuat Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor selepas Che Zulkifly enggan mematuhi arahan supaya duduk.

Ramli: Besut, saya kata duduk. Duduk Besut.

Namun, Che Zulkifly masih berdiri dan meminta laluan daripada Ramli untuk mencelah, tetapi tidak dibenarkan.

Che Zulkifly: Saya minta laluan, kalau tak bagi kata tak bagi la..

Ramli: YB, kali ketiga saya suruh duduk. Bentara (arah bentara supaya mengiringi Besut keluar).. tiga hari (jumlah Besut digantung).

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika itu mencelah, selamat bercuti Besut dan diminta diam oleh Timbalan Speaker.

Che Zulkifly: Saya sudah duduk dah, kenapa Timbalan Speaker buat keputusan (gantung) selepas saya duduk?

Ramli: Saya telah buat keputusan dan saya telah beri amaran tiga kali.

Che Zulkifly: Ya, saya dah duduk dah pun, saya duduk dah..

Ramli: YB tak duduk. Bentara, jalankan tugas.

Che Zulkifly kemudian bangun meminta penjelasan daripada Ramli tempoh tiga hari penggantungan itu bermula.

Ramli menjawab, penggantungan itu bermula hari ini dan Che Zulkifly boleh masuk bersidang pada Isnin ini.

Kejadian itu bermula apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) mempersoalkan mengapa kerajaan menyediakan dua rang undang-undang yang mempunyai tajuk bahasa Inggeris.

Ketika itu, Che Zulkifly bangun mencelah dan diikuti beberapa Ahli Parlimen lain, yang menyebabkan Ramli mengarahkan semua duduk supaya beliau boleh menyampaikan keputusannya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Che Zulkifly tidak duduk, sebaliknya masih meminta laluan untuk mencelah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast