Mohd Fahrur Radzi Chahat (baju biru) diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang banduan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang banduan warga Indonesia, bulan lalu.

Tertuduh Mohd Fahrur Radzi Chahat, 34, bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah melakukan bunuh menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Atmok Sukar.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik No 48, Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal Kompleks Penjara Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.15 petang 17 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Mazana kemudian menetapkan 29 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pada 24 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan, seorang banduan maut dipukul rakan sel sendiri selepas terlibat dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang,

Mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira pukul 6.28 petang semalam selepas tujuh hari menerima rawatan.

Siasatan lanjut mendapati pergaduhan kedua-dua banduan itu berlaku selepas suspek mengesyaki mangsa mengambil rotinya yang dibekalkan Jabatan Penjara  menyebabkannya dia tidak dapat makan.

Mangsa bagaimanapun menafikannya dengan suara yang tinggi mengakibatkan suspek terus memukul warga Indonesia itu.

Malah suspek turut mengaku telah menumbuk bahagian sebelah mata dan pipi kanan mangsa sehingga kepala mangsa terhantuk ke arah dinding – MalaysiaGazette.