KUALA LUMPUR – Rangka kerja yang tepat diperlukan untuk pelaksanaan cadangan menjadikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, mekanisme itu penting supaya skim tersebut memiliki ciri dan perlindungan yang tepat agar peminjam mampu serta boleh membayar pinjaman menggunakan sumber pendapatan mereka.
“Ketika ini butiran lengkap mengenai langkah caruman KWSP itu masih belum ada,” katanya dalam sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022 di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pencarum KWSP membuat pinjaman menggunakan wang caruman sebagai sandaran kepada bank dan perkara itu sudah dirujuk kepada Peguam Negara.
Beliau menjelaskan, hasil rujukan itu mendapati tiada percanggahan membabitkan Seksyen 51 Akta KWSP 1991 dengan pemberian dividen terhadap peminjam kaedah itu akan diteruskan, sekali gus risiko dalam aspek terbabit sangat minimum.
Perkara itu juga sudah dibincang dan diperhalusi bersama pihak KWSP sebelum kaedah itu diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari.
Jelasnya, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.
Anwar berkata, ada beberapa pihak memberi pandangan berhubung kaedah sandaran itu selain pertemuan dengan KWSP dan timbalan menteri secara berasingan.
Dalam sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 pada 9 Mac lalu, Anwar mencadangkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai sandaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan. – MalaysiaGazette