RAUB – Bukan selalu dapat menatap wajah pemimpin diraja kesayangan rakyat di depan mata.
Bagi Fatimah Zawani Khairul Fazli, 10 tahun, peluang menunaikan Solat Sunat Tarawih bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskadariah adalah kenangan terindah dalam hidupnya.
Anak kepada Khairul Fazli Zainudin yang juga Imam 2 Masjid Sultan Abu Bakar berkata, dia sangat teruja dan tidak pernah menyangka dapat solat bersama dalam satu saf dengan Seri Paduka Baginda.
“Biasa solat di sini tiada raja permaisuri, kali ini dapat solat dekat-dekat dapat satu saf, Tuanku Agong pun ada solat jemaah.
“Raja Pemaisuri Agong cantik, kali ini dapat tengok dekat-dekat, sebelum ini tengok dalam televisyen dan akaun sosial media dalam telefon,” kata Fatimah.
Lebih teruja bagi pelajar SK Methodist Raub ini, pengalaman manis ini dikongsi bersama dua lagi sahabat karibnya yang merupakan penghuni Rumah Tengku Ampuan Afzan (RuKTAA) Raub.
Semalam, Tunku Azizah berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak, Tarawih lapan rakat beserta Witir tiga rakaat di masjid bersama ratusan jemaah.
Selepas menunaikan solat, baginda menyantuni rakyat dan berfoto bersama selain mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak.
Terdahulu lebih 1,000 rakyat berbuka puasa bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah di Masjid Sultan Abu Bakar pada semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Dato Burhah Mohamed serta ketua-ketua jabatan.- MalaysiaGazette