Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) sebagai Ahli Parlimen Ampang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bukan kerana kekuatan dirinya sendiri.

Itu antara kenyataan saksi pertama kes saman ‘pembelotan’ RM10 juta PKR terhadap Zuraida terhadap parti itu hari ini.

Saksi Datuk Seri Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, Zuraida tidak mendapat undi daripada pengundi Ampang kerana kekuatan atau peribadi beliau sebaliknya hanya mengharapkan nama, logo dan sepanduk parti.

Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata kenyataan itu disokong dengan kekalahan Zuraida di Ampang pada PRU-15 ketika bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Jika tidak kerana nama parti, logo dan sepanduk, defendan akan kalah pada PRU14. Ini juga bukan andaian sebaliknya telah dibuktikan apabila defendan (Zuraida) bertanding di tempat sama P99 Parlimen Ampang menggunakan tiket parti berbeza namun telah tewas serta hilang wang deposit,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika prosiding atas talian di hadapan di hadapan Hakim Akhtar Tahir hari ini berhubung tuntutan PKR terhadap Zuraida bagi menuntut RM10 juta atas dakwaan melanggar kontrak bon apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Pada 24 Februari 2020 Zuraida mengumumkan keluar parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang dan selanjutnya membantu pembentukan gabungan politik baharu dikenali Perikatan Nasional.

Kata Saifuddin lagi, berikutan pembelotan tersebut, PKR kehilangan kelebihan mempunyai seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan seorang menteri Kabinet walhal Zuraida terus menikmati faedah sebagai Ahli Parlimen dan menteri di bawah parti Bersatu.

“Adalah tidak adil untuk defendan kekal menikmati faedah berkenaan yang dikecapinya jika bukan dengan perkhidmatan dan nama baik daripada PKR,” tegasnya.

Prosiding akan bersambung esok pagi.

PKR menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak serta faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. SAIFUDIN JANGAN BONGKAK DAN LUPA DIRI….kamu salah seorang yang KECUNDANG PRU15 tetapi di lantik MENTERI dan tumpang dikelengkang ANWAR
    “Jika tidak kerana nama parti, logo dan sepanduk SAIFUDIN BUNGKUS juga….baru tau langit ni tinggi ke rendah

Comments are closed.