KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) memaklumkan Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai) telah mencetuskan kriteria menurut Perenggan 2.1(f) Nota Amalan No. 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa
Sekuriti.
Dalam kenyataannya, Bursa Securities berkata, ia akan terus memantau kemajuan Bintai berkenaan dengan pematuhannya dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Semalam, Bintai memberitahu syarikat itu diklasifikasikan sebagai tersenarai penerbit terjejas menurut Perenggan 2.1(f) Nota Amalan 17 (PN17) keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Klasifikasi PN17 dibuat selepas MBSB Bank Bhd (MBSB) mengeluarkan notis penamatan bertarikh 29 Mac 2023 kepada Bintai Kinden sebagai penjamin korporat dan anak syarikat milik penuhnya, Optimal Property Management Sdn Bhd (OPM), sebagai peminjam berhubung berkenaan RM109 juta dalam kemudahan perbankan Islam di mana syarikat dan/atau OPM didapati telah ingkar.
Sehingga 30 Mac 2023, terdapat sejumlah 29 syarikat di bawah PN17 dan GN3 yang mewakili 3.05% daripada jumlah keseluruhan 951 syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dan ACE Bursa Sekuriti. – MalaysiaGazette