Najib Kod Etika Hakim
Nooryana Najwa Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh dibebaskan dari penjara secara serta-merta esok jika panel hakim bagi permohonan semakan kehakiman kes SRC International Sdn. Bhd. mendapati berlaku pelanggaran Kod Etika Hakim dan Perlembagaan Persekutuan.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, semakan kehakiman itu bertumpu kepada sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan bagi rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan sebelum ini telah menyalahgunakan kuasa atau salah dari tata cara.

Menurut beliau, hujah paling kuat ketika ini adalah sama ada keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah melanggar arahan mahkamah yang masih berkuat kuasa dan Kod Etika Hakim dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk hujah pertama, Pekeliling Mahkamah Tahun 1960 yang masih berkuat kuasa adalah jelas bahawa mahkamah tidak ada kuasa untuk menghalang peguam untuk menarik diri.

“Manakala untuk hujah kedua, perenggan 11 Kod Etika Hakim dalam Perlembagaan Persekutuan jelas memerlukan semua hakim untuk patuh kepada arahan dan pekeliling mahkamah sedia ada yang masih berkuat kuasa,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam akaun TikTok miliknya hari ini.

Nooryana Najwa menambah, isu berbangkit itu berlaku apabila permohonan peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri ditolak sehingga beliau tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dan dipenjarakan secara sangat tergesa-gesa.

Beliau memberitahu, situasi itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia atau dunia di mana seorang peguam tidak dibenarkan untuk menarik diri dan dipaksa duduk diam-diam di dalam mahkamah.

“Sekiranya panel hakim bagi semakan ini memutuskan bahawa Tengku Maimun dan panel hakim telah melanggar Pekeliling Mahkamah dan Perlembagan Persekutuan maka Najib bakal dibebaskan dari penjara secara serta-merta,” jelasnya.

Nooryana Najwa turut membangkitkan isu dokumen yang didakwa mengandungi laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Ratuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Beliau mendakwa, dalam laporan yang didedahkan tersebut, Mohd. Nazlan dikatakan telah melakukan kesalahan menyorok maklumat dan melanggar Kod Etika Hakim.

“Selain itu, laporan ini juga telah menimbulkan keraguan bahawa dana RM42 juta adalah dari SRC sebenarnya. Dana RM170 juta telah dibayar oleh Putrajaya Perdana dan anak syarikatnya, Permai Bina Raya kepada SRC ketika itu.

“Dana RM170 juta ini berasal dari pinjaman Maybank yang diluluskan ketika Mohd. Nazlan merupakan ketua bahagian undang-undang Maybank,” katanya.

Nooryana Najwa juga mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil sedangkan seperti yang telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini, laporan tersebut telah diserahkan kepada Tengku Maimun pada 21 Februari lalu.

Menurut beliau, perkara-perkara itu patut dipertimbangkan dan dimasukkan sebagai bukti bagi semakan kehakiman kes Najib.

“Kalau laporan ini tidak benar, Yana meminta supaya Ketua Hakim Negara, SPRM atau menteri undang-undang menafikan pembongkaran ini secara umum,” jelasnya.

Nooryana Najwa berkata, mereka tidak boleh membisu lagi apabila ada bukti dan keterangan kukuh yang menunjukkan kemungkinan berlaku penganiayaan terhadap Najib.

“Dalam bulan Ramadan ini, Yana doakan supaya kesabaran dan keimanan kita semua dapat membawa pulang berita baik mengenai Najib,” katanya. – MalaysiaGazette