Dr. Sukumaran Nair

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mencadangkan Kerajaan Perpaduan supaya membekukan perekrutan pekerja asing dari Bangladesh secara serta-merta.

Setiausaha Agungnya, Dr N Sukumaran menegaskan,  tindakan ini dapat menyekat kuasa monopoli pihak tertentu dengan mengenakan kos perekrutan tinggi, mengehadkan agensi pekerjaan, mengenakan pelbagai sekatan seperti melalui Sistem Migrams.

Sistem Migrams ini dimonopoli enam agensi pekerjaan Bangladesh setakat ini, yang mana hampir satu juta kelulusan oleh Kementerian Sumber Manusia membawa masuk pekerja adalah di bawah kendalian mereka.

“Sistem Migrams yang diwujudkan oleh penyedia perkhidmatan mengenakan kos RM100 untuk setiap pendaftaran pekerja untuk kemasukan ke negara ini.

“Yang aneh ialah pembayaran ini dikenakan hanya untuk pekerja Bangladesh sahaja secara top up melalui e-dompet antarabangsa oleh agensi-agensi pekerjaan Bangladesh,” kata Sukumaran dalam kenyataan, hari ini.

Namun kata Sukumaran, platform penyedia perkhidmatan Malaysia di Bangladesh kini dimonopoli hanya enam agensi pekerjaan sahaja.

“Sistem yang sedang memonopoli kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia, maka untuk mencapai anggaran dan jumlah kemasukkan pekerja asing dijangka mengambil masa yang terlalu lama jika sistem monopli ini tidak diambil tindakan serius dengan serta-merta,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, hampir satu juta pekerja asing Bangladesh telah diluluskan Kementerian Sumber Manusia menerusi sistem itu setakat ini.

Mengulas lanjut, Sukumaran memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia juga telah menghantar surat peringatan kepada syarikat penyedia sistem tersebut sebanyak empat kali.

Namun buat masa ini syarikat tersebut masih enggan membuka proses berkenaan untuk pekerja Bangladesh.

“Oleh itu, PAPSMA menyokong tindakan kerajaan membekukan kelulusan pekerja asing sementara waktu sehingga dapat mengawasi kemasukan pekerja asing dari negara sumber khususnya Bangladesh.

“PAPSMA juga memohon kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil tindakan serius dan mengkaji struktur serta protokol yang lebih profesional bagi membendung gejala lambakan pekerja asing jika keadaan ini berlarutan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast