Operasi bersepadu Op Pengemis dilakukan di bazar Ramadan bagi membanteras kegiatan sindiket pengemis warga asing yang didalangi warga tempatan.

MELAKA – Membawa warga asing dari Kuantan, Pahang untuk mengemis di Melaka kononnya untuk membina masjid di Selatan Thailand dengan pendapatan RM500 sehari dan menginap di hotel.

Itu taktik sindiket mengemis di negeri ini yang terbongkar susulan tangkapan dalang utamanya dalam Op Pengemis, Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berasal dari Pahang itu ditahan kira-kira pukul 7.30 petang bersama-sama tiga pengemis warga asing berusia antara 33 sehingga 46 tahun yang dibawanya dari Kuantan, Pahang.

Hasil rampasan dalam operasi bersepadu Op Pengemis dilakukan di bazar Ramadan bagi membanteras kegiatan sindiket pengemis warga asing yang didalangi warga tempatan.

“Serbuan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas pihaknya menerima aduan berkenaan aktiviti mengemis yang semakin meningkat di bazar Ramadan, pusat beli-belah dan pasar raya.

“Dalam operasi bersepadu itu kita berjaya menahan empat individu termasuk tiga lelaki warga asing kerana terlibat dalam aktiviti mengemis kononnya bagi tujuan pembinaan sebuah Sekolah Agama di Selatan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi bersepadu Op Pengemis dilakukan di bazar Ramadan bagi membanteras kegiatan sindiket pengemis warga asing yang didalangi warga tempatan.

Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas dokumen-dokumen yang digunakan bagi tujuan memperdaya orang ramai dan wang tunai berjumlah RM736.

Jelas beliau, siasatan awal juga mendapati ketiga-tiga warga asing itu dibawa oleh suspek tempatan yang menjadi dalang utama sindiket termasuk menguruskan tempat tinggal mereka di sebuah hotel di Jalan Tun Perak.

“Lelaki ini berperanan membawa tiga warga asing itu dari Kuantan, Pahang ke Melaka menggunakan kenderaanya semata-mata untuk mengemis kononnya untuk membina sekolah agama di Selatan Thailand.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket ini memperolehi sumbangan antara RM400 sehingga RM500 sehari dengan menyasarkan tapak-tapak bazar Ramadan yang menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast